Penyusuan susu ibu melibatkan persediaan psikologi dan juga fizikal. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menjayakan penyusuan susu ibu:
- Amalkan sikap yang positif dan yakin bahawa kita boleh dan akan berjaya.
- Rancang berapa lama kita mahu menyusukan bayi. Sebaiknya susukan bayi sehingga berusia 6 bulan dan meneruskan sehingga 2 tahun.
- Berbincang dengan suami dan jika boleh, hadiri ceramah penyusuan susu ibu atau kelas antenatal di mana penyusuan diajar bersama dengan suami.
- Dekatkan diri kita dengan orang-orang yang menyokong penyusuan susu ibu.
- Jangan tawar hati dengan komen-komen negatif daripada mereka yang kurang memahami atau mempunyai tanggapan yang salah berkenaan penyusuan susu ibu.
Salah Faham Tentang Penyusuan Susu Ibu
Memang perkara biasa. Bila kita berusaha untuk membuat kebaikan pasti ada suara-suara sumbang yang ingin menghalang. Begitu juga penyusuan susu ibu. Susu ibu makanan terbaik untuk anak kita. Jadi untuk apa kita beri yang lain, sedangkan kita boleh beri yang terbaik.
Ada beberapa salah faham ibu-ibu yang kadang kala membuatkan si ibu tawar hati untuk memberikan susu ibu:
“Saya tidak mahu payudara yang kendur!” Yang sebenarnya, penyusuan susu ibu membantu anda kembali kepada bentuk badan asal dengan lebih cepat. Wanita yang payudaranya kendur selepas bersalin menyalahkan penyusuan susu ibu sedangkan hakikatnya ia disebabkan oleh faktor usia yang meningkat dan graviti.
“Penyusuan susu ibu menyusahkan.” Penyusuan susu ibu sebenarnya memudahkan anda. Anda tidak perlu membawa peralatan, tidak perlu risau tentang bekalan susu, penyimpanan atau penyediaan susu. Tambahan lagi, penyusuan susu ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan ia tidak melibatkan kos!
“Penyusuan susu ibu mudah. Apa lagi yang hendak dipelajari?" Penyusuan susu ibu memang semulajadi dan mudah tetapi ia juga satu kemahiran yang perlu dipelajari. Dengan mempelajari sebanyak yang anda boleh, anda akan lebih bersedia dan tidak mudah mengalah apabila timbul masalah.
“Menyusukan bayi? Jangan haraplah. Tidakkah ia menyakitkan?” Hakikatnya, pada awalnya anda mungkin rasa bengkak sedikit. Akan tetapi, ia akan hilang selepas beberapa hari. Jika anda rasa sakit, ini mungkin disebabkan bayi tidak menghisap puting dengan betul.
“Tapi wanita yang berpayudara kecil tidak boleh menghasilkan susu yang mencukupi!” Wanita yang berpayudara kecil boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Saiz payudara dipengaruhi oleh tisu lemak manakala penghasilan susu bergantung kepada saiz kelenjar mamari di dalam payudara. Kelenjar mamari adalah sama tanpa mengira saiz payudara.
Kita sebagai ibu perlu membuat persediaan khususnya mental, kerana mental adalah cabaran yang paling kuat. Banyakkan membaca pengalaman ibu-ibu yang dah berjaya menyusukan anak mereka dengan susu ibu. In shaa Allah semangat kita akan kuat. Sekarang pun tak susah. Semua di hujung jari, google saja penyusuan susu ibu, macam-macam keluar. Hanya diri kita yang perlu membuat keputusan. Keputusan yang menjamin kehidupan anak kita. Pilihlah penyusuan susu ibu.